AHLAN WASAHLAN....


Minggu, 14 November 2010

PENENTUAN HARI RAYA QURBAN 1431H: Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS)

8 November 2010


KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN
PENENTUAN HARI RAYA QURBAN 1431H DI MALAYSIA

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia( JAKIM) melalui Cawangan Falak JAKIM ingin memaklumkan bahawa kaedah penentuan Hari Raya Qurban 1431H di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

2. Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431H disebanyak 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada 29 Zulkaedah 1431H bersamaan 6 November 2010 (Sabtu) yang lalu, telah mendapati anak bulan tidak kelihatan di kesemua tempat cerapan tersebut.

3. Hasil data cerapan tersebut kedudukan hilal (anak bulan) telah tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur rukyah (kebolehnampakan).

4. Untuk makluman masyarakat Malaysia, persetujuan bersama oleh 4 negara anggota Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura( MABIMS) telah menerima pakai Kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) yang telah diputuskan melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 29 Zulkaedah 1412H bersamaan 1 Jun 1992 sebagaimana berikut:

’Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi
salah satu daripada syarat-syarat berikut :

  1.  Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3°, ATAU
  2. Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.”
5. Oleh yang demikian, semalam iaitu pada 7 November 2010 adalah hari genap bagi Zulkaedah dan pada 8 November 2010 (Isnin) iaitu hari ini telah ditetapkan sebagai 1 Zulhijjah 1431H dan 10 Zulhijjah 1431H iaitu hari raya Qurban pula jatuh pada 10 Zulhijjah 1431H iaitu pada Rabu minggu depan bersamaan 17 November 2010.
6. Sehubungan dengan itu, umat Islam di Malaysia bolehlah melakukan ibadah puasa Arafah pada 16 November 2010 (Selasa) bersamaan 9 Zulhijjah 1431H.

7. Sukacita dimaklumkan juga, asas penentuan hari raya Korban di Malaysia adalah selaras dengan Singapura dan Republik Indonesia dan berkebetulan pada tahun ini negara Brunei Darussalam dijadualkan bersama-sama merayakan hari raya korban pada tarikh tersebut.

8. Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengakses dan merujuk Info Kriteria Imkanur-rukyah di Malaysia dan data-data berkaitan melalui laman web JAKIM di laman sesawang
www.islam.gov.my.

9. Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat. Atas kerjasama dan keprihatinan pihak media dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih.


Sekian, terima kasih.
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
Saya yang menurut perintah,
DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ
http://www.islam.gov.my/portal/

1 komentar:

al_adjehiey mengatakan...

semua kesatuan pendapat membuat kita tetap bersatu di bawah akidah yang sohih...

Posting Komentar

Berilah nasihat dengan muhibbah...

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More